Titah dan Teks Ucapan

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana sekali lagi dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini. Kepada para belia, beta mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Kebangsaan 2011. Beta juga merakamkan penghargaan di atas khidmat bakti para belia terhadap negara.
Tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini ialah Belia Berkreatif dan Berinovasi. Ini membawa makna, para belia dikehendaki supaya lebih kreatif dan inovatif.

Mereka juga digalakkan untuk terus menerokai segala bidang, sambil sentiasa up-to-date dengan perkembangan. Kita gembira, kerana terdapat sebilangan belia yang berbakat telah berjinak-jinak dengan perusahaan atau perniagaan. Mereka menggunakan daya kreativiti mereka melalui kaedah teknologi infokomunikasi atau ICT. Usaha ini sungguhlah membanggakan.

Pihak kerajaan beta dengan kerjasama pihak-pihak swasta akan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dengan memberikan sokongan dan dukungan melalui pembangunan kapasiti, penyediaan kemudahan infrastruktur dan pembukaan peluang pemasaran kepada para belia, agar mereka itu dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di dalam dan luar negeri.

Mengenai Industri Kreatif, para belia perlu merebut peluang tersebut, kerana di negara ini, banyak bidang yang dapat diteroka, khususnya bidang seni tradisi budaya. Bidang ini merupakan warisan berharga, yang boleh diketengahkan melalui strategi pemasaran berkesan, sebagaimana dilakukan oleh negara-negara maju. Ini juga akan boleh menarik para pelancong, dan sekali gus akan membuka peluang pekerjaan bagi anak-anak muda kita.

Beta percaya, setiap pencapaian oleh para usahawan belia akan menjadi penggalak dan pemangkin kepada para belia yang lain untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Inilah caranya peluasan industri kreatif, ia bergantung kepada penglibatan banyak pihak, di samping kemahuan kuat daripada pengusaha sendiri. Penglibatan itu termasuklah memberikan perlindungan undang-undang seperti undang-undang hak milik, kemudahan-kemudahan asas dan latihan-latihan. Jika ini ada, beta percaya, industri kreatif yang telah sedia ada pasti akan bertambah teguh dan maju, sementara dalam masa yang sama pula akan menggalakkan lagi para belia lain yang belum menceburinya akan menceburi bidang yang bermanfaat ini.

Bagi aktivit-aktiviti atau program-program secara umum pula, beta adalah mengalu-alukan usaha pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, melalui Jabatan Belia dan Sukan untuk menyedikan tempat di setiap daerah bagi para belia berkumpul dan mengadakan aktiviti atau program yang berfaedah. Beta percaya langkah untuk mempertingkatkan lagi kemajuan melalui usaha rebranding atau penjenamaan semula Pusat-Pusat Belia di seluruh negara adalah sebagai tepat pada waktunya. Ia bukan saja dimaksudkan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, tetapi lebih utama akan dijadikan sebagai tempat mendapatkan khidmat nasihat dan menghasilkan produk karya seni dan kebudayaan yang bermanfaat.

Beta difahamkan bahawa langkah yang diambil bagi penjenamaan semula Pusat-Pusat Belia ini adalah hasil daripada dialog di antara pihak berkuasa dengan kumpulan sasaran iaitu kumpulan belia sendiri. Ini bererti, pembentukan aktiviti atau progam yang bakal dilaksanakan itu adalah mengambil kira cita rasa para belia juga. Ini wajar, kerana kaum belia memang layak untuk menjadi penjana dan pelopor.

Dengan yang demikian, beta mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada kaum belia bagi sama-sama menjayakan matlamat menjadikan Pusat-Pusat Belia tersebut sebagai pusat beriadah, belajar, beramal dan berbakti kepada diri sendiri, ugama, bangsa dan negara.

Seperti pernah beta sebutkan, pembangunan jati diri di kalangan para belia adalah mustahak.
Ia berguna sebagai persediaan untuk menempuh pelbagai cabaran hidup. Jati diri adalah kekuatan sebenar, sebagai pelengkap dalam menjalankan khidmat.

Sehubungan ini, beta sukacita mengumumkan bahwa satu projek rintis ke arah melaksana Program Khidmat Bakti Negara atau PKBN akan dilancarkan pada Disember ini, ia bertujuan untuk mewujudkan satu Program Perkhidmatan Bakti Negara yang terbaik.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sempena Hari Belia Kebangsaan pada hari Isnin, 28 Syahwal 1432 Hijriah, 26 September 2011 Masihi bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 Kembali Ke Atas

Hubungi Kami

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat, sila hubungi kami di alamat berikut:

Ibu Pejabat
Program Khidmat Bakti Negara [PKBN]
Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan
Blok 18 Simpang 32-15
Flat Kerajaan Anggerek Desa
Berakas BB3713
Negara Brunei Darussalam

Telefon : +673 234 0033 / 234 0045
Fax: +673 234 1722
Email: khidmatbaktinegara@kkbs.gov.bn